
RABIATUL ADAWIYAH – Sosok Wanita Perindu Cinta Allah
Oleh : Queen_Persia
MM - Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Oleh : Queen_Persia
MM - Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah,
keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya
terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan
orang ramai berlomba-lomba
mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan
menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman
mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara
sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada
masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang
dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita.
Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi
segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang
benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang
sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih
bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang
berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata.
Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran
sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah
sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang
mendalam.
Menjelang kedewasaannya,
kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau
ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang
bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah
terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas
keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk
kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta
mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba bergantung harap
kepada belas kasihan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah
sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku
berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan
diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku
dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah
menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya
dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara
binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air
yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang
melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang
menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan
menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
Rabi’ah juga pernah meraung memohon
belas ihsan Allah SWT :
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan
orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut
bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak
di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap,
siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang
berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan
Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan
Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan
ungkapan seperti :
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan
pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan
menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya
maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal
selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu,
jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak
bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri
Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi
sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk
diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai
apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali
yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah
semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan
Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya
kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya
dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus
mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya :
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di
dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku
daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur
berbunyi :
“Kekasihku tiada menyamai kekasih
lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara
yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi
itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman
sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan
membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba
yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah
berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut
daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu
kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku
menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang
besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah
yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya.
Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80
tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri
sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di
dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud :
“Apakah kamu mengira bahawa kamu
akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di
antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila
insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil
hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk
merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku.
Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya
kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan.
Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati
dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita
berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka
bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan
cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah
berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini
sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam
yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat
kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada
kita.
Dengan itu kita akan sedar
bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita
akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti
diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita
juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.
Source : dari berbagai sumber
0 komentar:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !